Soalan Lazim
1. Apakah fungsi Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak?
Jawapan :
- Menjalankan kuasa Ketua Pendakwa Syarie berdasarkan seksyen 67 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004 dan seksyen 181 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004;
- Mengendalikan pendakwaan di Mahkamah Syariah Negeri Perak;
- Mengendalikan perbicaraan, rayuan, permohonan dan semakan jenayah syariah di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Perak;
- Mengendalikan rayuan jenayah dan permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Perak;
- Memberikan arahan dan nasihat kepada agensi penguatkuasaan undang-undang berhubung dengan penyiasatan dan pendakwaan jenayah syariah;
- Mengkaji kertas siasatan bagi memutuskan sama ada pertuduhan perlu dilakukan atau sebaliknya.
2. Apakah jenis kesalahan yang dikendalikan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak?
Jawapan :
- Kesalahan Akidah
- Kesalahan Prosedur
- Kesalahan Matrimoni
- Kesalahan Gangguan Ketenteraman Awam
- Kesalahan Maruah Diri
- Kesalahan Enakmen Syariah
3. Apakah faktor menentukan sesuatu kes itu didakwa atau tidak?
-
Jawapan :
- Terdapat beberapa faktor membawa kepada kes tidak didakwa antaranya ialah keterangan tidak mencukupi dan tidak memenuhi elemen kesalahan, saksi yang tidak mencukupi bagi memenuhi Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Perak 2004, suspek atau orang yang disyaki tidak dapat dikesan, prosedur tidak dipatuhi dan lain-lain;
- Keputusan berkenaan dengan sesuatu siasatan oleh Penguatkuasa Agama itu adalah bergantung sepenuhnya kepada keterangan yang mencukupi (keterangan termasuk saksi) dan prosedur yang dipatuhi. Jika ada keterangan yang mencukupi, memenuhi elemen kesalahan dan prosedur yang dipatuhi maka, kes akan didakwa dan orang yang disyaki boleh didakwa di mahkamah syariah. Sebaliknya jika keterangan tidak mencukupi dan tidak memenuhi elemen kesalahan, maka tiada pendakwaan boleh dibuat.
- Jika suatu kesalahan melibatkan kesalahan matrimoni, maka pemakaian seksyen 4 Enakmen Keluarga Islam Negeri Perak 2004 adalah terpakai. Sekiranya orang yang disyaki bukan orang yang tinggal dalam Negeri Perak atau bukan yang bermustautin di Negeri Perak, maka kesalahan itu tidak terpakai kepadanya.
4. Adakah keputusan oleh Ketua Pendakwa Syarie untuk satu-satu kes tidak didakwa boleh dirayu?
Jawapan :
- Satu-satu keputusan samada suatu kes itu didakwa atau tidak adalah bergantung kepada budi bicara seorang Ketua Pendakwa Syarie. Ini adalah jelas berdasarkan seksyen 181 Enakmen Tatacara jenayah Syariah Perak 2004.
- Walaubagaimanapun, pengadu bagi kes boleh merayu keputusan tersebut kepada Ketua Pendakwa Syarie terutamanya apabila keterangan baru yang memenuhi elemen kesalahan ditemui. Satu rayuan bertulis perlu dikemukakan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Perak.
5. Apakah yang dimaksudkan dengan kesalahan boleh tangkap dan kesalahan tak boleh tangkap?
Jawapan :
- Maksud bagi kesalahan boleh tangkap dan tak boleh tangkap telah ditafsirkan dalam seksyen 2 Enakmen Tatacara jenayah Syariah (Perak) 2004;
- Kesalahan boleh tangkap bermaksud sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat kuasa Agama atau pegawai polis boleh menangkap tanpa waran;
- Kesalahan tak boleh tangkap bermaksud sesuatu kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja yang baginya pada lazimnya Pegawai Penguat kuasa Agama atau pegawai polis tidak boleh menangkap tanpa waran
6. Siapakah yang diberi kuasa oleh undang-undang syariah Negeri Perak untuk melakukan tangkapan?
Jawapan :
- Pegawai Penguatkuasa Agama Yang diberi kuasa berdasarkan seksyen 58 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004
- Pegawai Polis
- Pegawai Masjid
- Hakim Mahkamah Syariah
7. Apakah hak-hak orang yang ditangkap?
Jawapan :
- Seseorang yang ditangkap hendaklah dijelaskan alasan dia ditangkap (Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan);
- Seseorang yang ditangkap hendaklah dibenarkan berunding dengan dan dibela oleh pengamal undang-undang pilihannya (Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan);
- Seseorang yang ditangkap hendaklah dilepaskan dalam tempoh 24 jam (Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan).
8. Apakah yang dimaksudkan dengan pelepasan seseorang dan Bagaimanakah prosedur melepaskan orang yang ditangkap?
Jawapan :
- Pelepasan ini adalah bagi memenuhi kebebasan asasi sepertimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 yang seseorang itu tidak boleh ditahan melebihi 24 jam dan bukanlah bermaksud seseorang itu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
- Seseorang yang ditangkap boleh dilepaskan dengan bon atau jaminan atau di bawah perintah bertulis seorang Hakim atau Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama atau seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor.