Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2024
Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka 2024
23 Mei 2024 | 14 Zulkaedah 1445H (Khamis) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah mengurusetiakan Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Negeri Melaka Tahun 2024. Majlis telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka bertempat di Grand Ballroom MITC Ayer Keroh Melaka. Majlis turut dihadiri oleh YB Datuk Salhah Binti Salleh, Pegawai Kewangan Negeri Melaka yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YAA Dato’ Hj Mohd Amran Bin Mat Zain Ketua Pengarah / Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM); YB Datuk Rahmad Bin Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama; YB Datuk Abd Aziz bin Engan, Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka; Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim bin Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka; YA Tuan Haji Mohd Yunus Bin Mohamad Zin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah MSNM; dan YA Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah JKSM serta Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
YAA Dato’ Mohd Amran Bin Mat Zain dalam ucapan alu-aluan selaku Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM mengharapkan agar semua Peguam Syarie telah bersedia untuk memikul tanggungjawab dan amanah bagi membantu masyarakat di Negeri Melaka khususnya dalam sebarang permasalahan berkaitan perundangan Syariah. Profesion sebagai Peguam Syarie dalam bidang Perundangan Syariah ialah sebagai individu yang membantu mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah, memberi khidmat nasihat dan bantuan guaman kepada pihak-pihak.
Manakala YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka dalam ucapan perasmian menegaskan tema majlis ini iaitu “Peguam Syariah Berintegriti, Syariah Disegani” amat bertepatan dengan peranan institusi guaman yang sangat dekat dengan anak guamnya untuk menegakkan sesuatu keadilan. Seorang Peguam Syarie memikul tanggungjawab dan amanah yang besar terutamanya dalam menjaga kerahsiaan maklumat anak guam daripada pihak-pihak yang tidak sepatutnya. Beliau menyeru kepada semua Peguam Syarie agar dapat memahami dengan lebih mendalam berkenaan natural justice atau keadilan asasi yang menitikberatkan berhubung perundangan yang adil dan hukuman yang saksama. Syabas juga kepada MSNM kerana komited menambah bilangan Peguam Syarie dengan peningkatan 13 peratus daripada sebelumnya.
YAB Datuk Seri Utama melakukan simbolik perasmian dengan pengistiharan pentauliahan dan mengetuk tukul hakim. Seramai 69 orang Peguam Syarie telah ditauliahkan pada hari ini terdiri daripada 27 orang Peguam Syarie lelaki dan 42 orang Peguam Syarie perempuan. Selain itu, lima (5) penerima tauliah khas iaitu dua (2) pegawai di Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka dan tiga (3) pegawai di Bahagian Sokongan Keluarga di MSNM. Untuk rekod semua Peguam Syarie telah diterima masuk di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pada 8 Februari 2024 (Selasa).
Sekalung tahniah kepada semua Peguam Syarie yang ditauliahkan dan semoga kalian menjadi seorang Peguam Syarie yang berintegriti serta dapat menjadi pemangkin dalam usaha meningkatkan martabat Mahkamah Syariah agar terus disegani dan dihormati. Profesion Peguam Syarie sangat penting bagi Mahkamah Syariah khususnya dan kerajaan negeri umumnya kerana dapat membantu mahkamah menyelesaikan kes pihak-pihak yang bertikai dengan adil dan secara tidak langsung dapat merealisasikan visi kerajaan menuju negeri lestari berteraskan kesejahteraan kehidupan berkeluarga.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |