Perutusan YAA Ketua Hakim Syarie Melaka
Perutusan YAA Ketua Hakim Syarie Melaka

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT atas nikmat yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya, para sahabat, serta seluruh pengikut baginda hingga akhir zaman.
Selamat Tahun Baru 2025 diucapkan kepada seluruh warga Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM). Ucapan ini juga ditujukan kepada pelanggan yang terus menyokong institusi ini sebagai peneraju keadilan syariah di negeri Melaka, serta kepada semua pihak yang sentiasa mengikuti perkembangan MSNM.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha keras, kerjasama dan dedikasi semua pihak sama ada warga kerja mahkamah, Peguam Syarie, Pendakwa Syarie dan semua pelanggan MSNM sepanjang tahun 2024. Bersama, kita telah mencatat pelbagai pencapaian membanggakan. Tahun baru 2025 adalah peluang untuk kita terus melangkah maju, menghadapi cabaran dengan lebih berani, dan mencapai matlamat yang lebih besar. Semoga kita semua sentiasa diberi kekuatan dan kesihatan untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dalam lindungan dan keredhaan Allah jua hendaknya.
Pelaksanaan Agenda 2025 MSNM akan dirancang dan dilaksanakan dengan lebih teliti, kreatif dan inovatif untuk mencapai visi dan misi jabatan. Perancangan ini penting untuk memastikan segala keputusan dan tindakan menjadi lebih sistematik, teratur, dan berkesan, selaras dengan undang-undang, memenuhi kehendak pelanggan, serta memberi manfaat kepada semua pihak. Pada masa yang sama, kejayaan yang dicapai tahun sebelumnya perlu dikekalkan, ditambah baik, dan kelemahan yang dikenalpasti perlu diberi solusi agar perkhidmatan MSNM menjadi lebih efisien.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah al-Ra'd, ayat 11)
Berdasarkan ayat ini Allah SWT menghendaki kita mengubah perspektif pemikiran (mindset) ke arah yang lebih positif agar dapat melakukan transformasi lebih baik dalam perkhidmatan, sekaligus mencapai kecemerlangan yang memberi manfaat terbaik kepada semua pihak.
Saya menyeru semua warga mahkamah untuk merealisasikan slogan Bijak Laksana Hang Tuah dan Berani Laksana Jebat dalam memanfaatkan sumber yang terhad agar dapat menghasilkan perkhidmatan berkualiti yang memberi impak keadilan serta membahagiakan semua pihak.
Penggunaan secara sistem e-Syariah versi 3.0 dan teknologi digital terkini perlu dioptimumkan sejajar dengan kemajuan teknologi digital. Pada masa yang sama, kita perlu menunaikan piagam pelanggan serta merealisasikan misi dan visi jabatan.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa agar segala urusan kita dipermudahkan. Semoga keadilan dapat ditegakkan, pengurusan perbicaraan berjalan dengan berkesan, kesihatan kita sentiasa terpelihara, dan rezeki yang diperoleh sentiasa halal dan diberkati. Insya-Allah.
Sekian, Wabillahi taufiq wa al hidayah.
Wassalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Syariah Asas Keadilan.
Y.A.A. Tuan Hj Azzeman Bin Hj Omar
Ketua Hakim Syarie,
Mahkamah Syariah Negeri Melaka.