PROGRAM PENYELIDIKAN PERUNDANGAN SYARIAH DI SEOUL, KOREA SELATAN
PROGRAM PENYELIDIKAN PERUNDANGAN SYARIAH DI SEOUL, KOREA SELATAN
14-19 Mei 2024 | 05-10 Zulkaedah 1445H - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) telah mengadakan Program Penyelidikan Perundangan Syariah di Seoul, Korea Selatan bermula 14 Mei hingga 19 Mei 2024. Delegasi program penyelidikan perundangan ini diketuai oleh YA Tuan Hj Mohd Yunus Bin Mohamad Zin, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjalankan tugas Ketua Hakim Syarie MSNM. Turut serta dalam delegasi program ialah Tuan Mohd Saifuddin Bin Othman, Pegawai Penyelidik Kanan, Tuan Amirrudin Bin Abdul Latip, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Daerah Alor Gajah, Tuan Mohd Arip Bin Omar, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Daerah Melaka Tengah, Puan Aisah Binti Saleh, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Daerah Jasin, Tuan Ahmad Hamidi Bin Semaon, Pegawai Sulh, dan Puan Wan Siti Khadijah Habibah Binti Wan Hussin, Penolong Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga Melaka.
Objektif lawatan ini adalah mendapatkan informasi berkaitan konsep Saemaul Undong yang dipopularkan di negara Korea Selatan dalam konteks pelaksanaan tugasan dan penyelesaian masalah khususnya dalam bidang perundangan dan kehakiman. Dalam masa yang sama delegasi turut mengambil peluang bagi mendapatkan maklumat berhubung proses perceraian, mediasi dan tuntutan-tuntutan selepas perceraian serta isu-isu kekeluargaan yang dikendalikan di Mahkamah Keluarga (Family Court) Seoul Korea.Delegasi MSNM juga telah berkesempatan berkunjung ke Kedutaan Besar Malaysia di Korea Selatan yang telah disambut mesra oleh pegawai kedutaan iaitu Datin Sri Norhadila Ab Halim, Kaunsellor (Ekonomi) dan Puan Izan Idayu Binti Yusof, Ketua Canseri serta kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Korea Selatan. Dalam sesi kunjung hormat dan perbincangan ringkas, pihak kedutaan telah berkongsi pengalaman mereka dalam menangani permasalahan yang melibatkan status perkahwinan dan perceraian rakyat Malaysia beragama Islam yang berada di Korea Selatan khususnya dan permasalahan lain yang dijangka akan berlaku pada masa akan datang.
Delegasi MSNM turut dimaklumkan bahawa pernikahan atau perceraian orang Islam di Korea Selatan dikendalikan oleh intitusi yang dikenali sebagai Korea Muslim Federation ( KMF) tertakluk kepada undang-undang dan peraturan di Korea Selatan. Untuk rekod, Pihak Kedutaan Malaysia tidak akan mengendors atau mengesahkan sebarang dokumen pernikahan yang tidak mempunyai keesahan daripada pihak KMF dan Kementerian Luar Negeri Korea Selatan. Dalam masa yang sama delegasi MSNM turut berkongsi pengalaman rakyat Malaysia yang mempunyai masalah perkahwinan atau perceraian di negara lain dan keterlibatan pihak kedutaan atau konsulat dalam membantu mereka mencari jalan penyelesaian.Dalam sesi yang berikutnya, delegasi MSNM telah mengadakan lawatan kerja ke Seoul Family Court di Gangnam-daero, Seocho District, Seoul Korea. Delegasi MSNM juga telah disambut dengan mesra oleh pihak Mahkamah tersebut yang diketuai oleh Chief Justice Cho Young Ho, Chief Presiding Judge of Seoul Family Court, Chief Justice Lee Kwang Woo, Presiding Judge, Chief Justice Jung Hye Eun, Presiding Judge, Honourable Judge Hong Young Jin, Judge dan Honourable Judge Jang Seo Jin , Judge Director of Planning Affairs) of Seoul Family Court. Dalam sesi mesyuarat antara delegasi MSNM dan hakim-hakim di Seoul Family Court, mereka telah berkongsi pengalaman dan pengetahuan khususnya berhubung pengurusan kes dan proses pengendalian kes-kes perceraian, mediasi, nafkah anak dan hak jagaan anak di Seoul Family Court. Delegasi MSNM juga turut berkongsi pengalaman dan memberikan penjelasan berkaitan perceraian dan lain-lain tuntutan yang dilaksanakan di Malaysia khususnya di MSNM.
Di akhir program penyelidikan ini, satu sesi perjumpaan khusus telah diatur untuk bertemu dengan Ustaz A. Rahman Lee, Ju-Hwa , Imam (Chairman of Sharia Committee) Korea Muslim Federation di Yongsan-gu Seoul Korea. Beliau juga merupakan Imam Besar di Seoul Central Masjid. Beliau telah menjelaskan secara terperinci berkenaan proses pernikahan umat Islam khususnya rakyat Malaysia di Seoul dan dokumen-dokumen yang berkaitan digunakan berhubung urusan tersebut. Delegasi MSNM juga berpeluang menyaksikan sendiri proses pernikahan dan berkesempatan menemubual satu pasangan yang salah seorang pihak adalah rakyat Malaysia.
Program penyelidikan ini telah dapat memberikan sudut pandang yang berbeza berkaitan proses perkahwinan dan perceraian orang Islam selain dapat meneliti konsep Semaoul Undong yang secara tidak langsung diamalkan dalam pengurusan kehakiman dan perundangan melalui kajian dilapangan. Semoga program ini dapat memberikan impak yang positif dalam menambahbaik pengurusan kes di MSNM dan dapat meningkatkan prestasi serta mutu pengadilan kes-kes syariah dengan mengamalkan “best practice” yang diperolehi melalui pemerhatian dan sesi temubual di Seoul Family Court.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |