INFAK KASIH RAMADHAN
INFAK KASIH RAMADHAN
28 Mac 2024 | 17 Ramadhan 1445H (Khamis) - Mahkamah Syariah Negeri Melaka (MSNM) dengan kerjasama Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi (KKSR) MSNM, Persatuan Peguam Syarie Malaysia Negeri Melaka (PGSMM), Jabatan Pendakwaan Syariah (JAPENS) Negeri Melaka serta Jabatan Bantuan Guaman (JBG) Negeri Melaka telah bersama-sama menyertai Konvoi Infaq Kasih Ramadan 2024 "Rezeki Dikongsi Bersama". Program ini yang dimulai dengan beberapa ucapan alu-aluan dari wakil-wakil delegasi, selanjutnya disusuli dengan acara perasmian dan pelancaran Konvoi oleh YA Tuan Haji Mohd Yunus bin Mohamad Zin diiringi oleh Puan Ruhmawati binti Khuzaimah (Ketua Pendaftar MSNM), Datuk Hj Adli bin Ithnin (Presiden PGSMM), Tuan Atras bin Mohamad Zin (Pengarah JAPENS Negeri Melaka) ,Tuan Mohammad Qaiyyum bin Ramlan (Pengarah JBG Negeri Melaka) dan Tuan Amirrudin Bin Datuk Abdul Latip ( Yang Dipertua KKSR).
Program ini turut disertai pegawai-pegawai dan kakitangan MSNM, barisan Jawatankuasa KKSR, Ahli-Ahli PGSMM, pegawai dan kakitangan JAPENS Negeri Melaka serta Pegawai dan kakitangan JBG Negeri Melaka. YA Tuan Haji Mohd Yunus yang mengetuai konvoi sumbangan telah membuat pelepasan di ibu pejabat yang dihadiri semua peserta yang semangat hadir sejak awal pagi. Dalam ucapannya, YA Tuan Haji Mohd Yunus juga turut menyampaikan pesan agar semua yang terlibat dapat menunjukkan keprihatinan kepada golongan yang kurang bernasib baik selain dapat menggambarkan kepada masyarakat tentang fungsi Mahkamah Syariah bukan hanya semata mengendalikan kes Mal dan Jenayah Syariah sahaja malah turut prihatin kepada aspek sosialisasi masyarakat amnya. Di samping itu, Tuan YDP KKSR pula dalam ucapannya turut menyampaikan harapan beliau agar semua yang terlibat akan menjalankan tanggungjawab yang di beri dengan baik.
Dalam ucapan Pengerusi PGSMM pula, beliau turut menyuntik semangat kepada semua yang terlibat agar program ini dapat dimanfaatkan serampan dua mata bukan semata dalam memberikan sumbangan kepada yang memerlukan tetapi juga dalam membentuk nilai baik dalam diri termasuklah menjadi seorang yang berjiwa prihatin. Penerima sumbangan untuk program kali ini adalah seramai 170 keluarga yang meliputi daerah-daerah iaitu di Melaka Tengah, Jasin, Alor Gajah, Sungai Rambai dan Masjid Tanah.
Sebanyak 30 buah kenderaan yang terdiri daripada 17 kumpulan terlibat memulakan perjalanan menyerahkan sumbangan ke destinasi daerah-daerah bermula jam 9.30 pagi. Antara 1001 kisah duka, sedih, hiba dan penuh keinsafan yang dapat digarap sepanjang program ini dilaksanakan meliputi keperitan-keperitan hidup yang dialami ibu-ibu tunggal, si ayah yang menderita sakit kronik, si ayah yang kemalangan, si suami yang ditinggalkan isteri kerana cacat, ibu tunggal menjaga anak-anak kecil, dan pelbagai lagi kisah yang pastinya memberi keinsafan dan pengajaran kepada semua.
Sudah pasti ia menjadi kenangan yang terpahat dalam ingatan agar kita sentiasa bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan. Pada tahun ini merupakan tahun pertama Konvoi Infaq Ramadan ini disertai oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia Negeri Melaka manakala Jabatan Bantuan Guaman pula menyertai program ini buat kali kedua bersama-sama MSNM dan PGSMM. Semoga usaha yang sedikit ini daripada semua yang terlibat dapat membantu mereka yang lebih memerlukan dan diberkati oleh Allah swt. Sekalung penghargaan kepada semua yang terlibat dan semoga usaha dan kerjasama yang baik ini dapat diteruskan secara berkala di tahun-tahun yang akan datang.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |