Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar

Masjid Ubudiah Bukit Chandan, Kuala Kangsar

Semasa berehat dalam rawatan di Port Dickson, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah (1887-1916) telah bernazar untuk membina sebuah masjid di Bukit Chandan, Kuala Kangsar sekiranya kesihatan Baginda pulih.

Setelah berangkat balik ke Kuala Kangsar, Baginda telah menitah Colonel Huxley dari Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur, untuk merekabentuk sebuah masjid yang hendak didirikan. Arkitek yang ditugaskan merekabentuk Masjid ini ialah Mr. Hubbeck, yang menggunakan senireka 'Moor' dan Mr Caulfield, Jurutera Negeri Perak, telah ditugaskan melaksanakan bangunan Masjid ini. Senireka yang diilhamkan oleh Mr. Hubbeck telah menjadikan Masjid Ubudiah salah satu masjid yang mempunyai nilai senireka yang bermutu tinggi sehingga ianya mendapat tempat dalam pelan pelancongan.

Pada hari Jumaat, 26hb. September 1913, Sultan Idris Murshidul'adzam Shah, telah meletakkan batu asas masjid tersebut. Walau bagaimanapun pembinaannya telah tergendala apabila batu-batu marmar yang dibeli dari Itali telah pecah dipijak oleh dua ekor gajah kepunyaan Baginda dan Raja (Sir) Chulan. Mengikut cerita, dengan tidak semena-mena seekor gajah Baginda bernama Kulub Chandan dan gembalanya bernama Kulup Sa'id telah berjuang dengan seekor gajah kepunyaanya Raja (Sir) Chulan ibni Sultan Abdullah, bernama Kulub Gangga dan gembalanya bernama Uda Debok.

Perjuangan gajah itu telah melarat ke tempat simpanan batu marmar tersebut dan akibatnya musnahlah batu marmar itu. Perjuangan itu berlanjutan hingga berjam-jam, sehingga Raja Chulan sendiri datang, menyeru nama gajahnya dan memerintahkannya berhenti, maka barulah gajah itu berhenti berjuang, walaupun telah ramai yang cuba meleraikan gajah itu tetapi tidak berhasil.

Oleh sebab batu marmar itu telah musnah, maka terpaksalah dipesan semula dari Itali. Tetapi malangnya, batu marmar yang dipesan itu telah lambat sampai oleh kerana cetusan Peperangan Dunia Pertama di Eropah. Batu Marmar itu telah dibawa melalui Afrika Selatan.

Walau bagaimanapun pada tahun 1917, Masjid ini telah siap dibina dan dibuka dengan rasminya oleh Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah (1916-1918) yang menggantikan Sultan Idris yang mangkat pada tahun 1916.

Sebelum Masjid Sultan Idris Shah II, Ipoh, dibina dan dijadikan Masjid Negeri, Masjid Ubudiah dan dipengerusikan oleh sesiapa yang dilantik oleh Sultan memegang jawatan Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya di-Raja dan jawatan Setiausaha diuruskan oleh sesiapa yang memegang jawatan Kerani Besar Pejabat Duli Yang Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Penafian

Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Negeri Perak tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.

Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

Laman Web ini menggunakan SUSUN ATUR RESPONSIF.

Kemaskini Terakhir :Jumaat 22 Disember 2017, 02:41:49 / Jumlah Pelawat : 707629

Hubungi Kami

Pejabat D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Perak
33007 Kuala Kangsar,
Perak Darul Ridzuan.

Tel. No : 605 776 1141 / 1144
Fax No : 605 776 3724
Email : pejsultan[at]perak[dot]gov[dot]my